Powered By Blogger

Friday, November 23, 2012

Minumlah Air Secukupnya



Air sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia umpama minyak untuk sesebuah kenderaan. Tanpa air manusia tidak boleh hidup. Kajian menunjukkan kira-kira 2/3 daripada komposisi badab kita ialah air. Kita mampu hidup tanpa makanan untuk tempoh berminggu-minggu, malahan berbulan-bulan lamanya untuk sesetengah orang. Namun jika ketiadaan air meskipun hanya sehari, fungsi badan kita akan terjejas. Kira-kira satu minggu, kita akan mati jika tidak menemui air.

Allah menceritakan fungsi air dalam kehidupan manusia yang bermaksud : "Agar (dengan air itu) Kami menghidupkan negeri yang mati (tandus) dan Kami memberi minum kepada sebahagian makhluk yang telah kami ciptakan, (berupa) haiwan-haiwan ternak dan manusia yang ramai." (Surah al-Furqan 25:49)

Meskipun badan kita kekurangan air untuk jumlah yang sangat sedikit, contohnya hanya dua peratus sahaja, ia cukup untuk menyebabkan gangguan pada memori, hilang daya fokus dan kelesuan badan. Jika badan mengalami kekurangan air dalam tempoh yang agak panjang, pelbagai masalah kesihatan akan menyerang tubuh kita seperti sakit kepala, batu karang, sembelit, kencing kotor dan masalah peredaran darah.

Pakar-pakar perubatan dan biologi mencadangkan agar kita mengambil sekurang-kurangnya enam gelas air sehari. Mereka yang aktif bersukan dan aktiviti fizikal tentu sekali memerlukan kuantiti yang lebih. Dalam kesibukan aktiviti harian, kadang-kadang kita terlupa untuk mengambil air yang secukupnya. Apatah lagi apabila berpuasa bulan Ramadhan, masa untuk minum terhad ditambah dengan perutbyang sentiasa diisi dengan makanan tanpa ada ruang untuk air. Rasulullah s.a.w. Juga menyarankan kita mengisi perut tidak lebih daripada satu pertiga makanan agar datu pertiga lagi dapat digunakan untuk air dan satu pertiga lagi udara untuk pernafasan.

Kita hanya berasa penat dan lesu sepanjang hari tanpa mengesaki badan kita kekurangan air. Biasanya kita berpandukan rasa dahaga sebagai petanda sama ada badan kita kekurangan air ataupun tidak. Cara terbaik untuk mengesan kekurangan air pada badan kita adalah dengan melihat warna air kencing kita. Sekiranya ia pekat dan berbau kuat, badan kita memerlukan air yang lebih. Jika ia jernih dan cair, badan kita cukup air.

APA FUNGSI AIR KEPADA BADAN KITA?
  • Membantu untuk berfikir (tiga suku daripada komposisi otak adalah air).
  • Mengangkut zat-zat makanan keseluruh badan.
  • Mengawal suhu badan.
  • Melembutkan dan mencantikkan kulit.
  • Membuang bahan-bahan kumuh melalui air kencing dan najis.
  • Melancarkan peredaran darah.
  • Menggerakkan otot-otot dan sendi.


PANDUAN MINUM AIR SECUKUPNYA
  • Bawa sebotol air mineral ke mana-mana sahaja anda pergi dan letakkan di atas meja semasa belajar ataupun bekerja. Secara tidak langsung, ia akan mengingatkan anda untuk minum.
  • Minim segelas air sebaik sahaja bangkit dan juga hendak tidur. Jadikan ia sebagai rutin amalan harian sebelum dan selepas tidur.
  • Padtikan air sentiasa dibawa semasa bermusafir kerana badan kita akan kehilangan banyak air semasa dalam perjalanan jauh.
  • Jangan makan berlebihan pada bulan Ramadhan agar perut kita mempunyai ruang yang secukupnya untuk diisi dengan air.

No comments: