Powered By Blogger

Wednesday, December 5, 2012

Persoalan Mengenai ASB & ASN



Bagaimana dengan kedudukan orang Islam yang telah menyertai dan membuat pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya?

Kedudukan orang Islam yang telah menyertai dan membuat pelaburan ASB ini sekiranya mereka telah diberitahu bahawa pelaburan ASB tersebut adalah haram, maka mereka hendaklah meninggalkan ASB dan menyertai dana-dana amanah lain yang mematuhi syariah. Sekiranya mana-mana umat Islam yang tahu tetapi tidak meninggalkan ASB tersebut maka mereka telah melakukan dosa yang melibatkan diri mereka dengan riba. 

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." (Surah al-Baqarah:275) 

Adakah mereka perlu mengeluarkan semua duit yang ada dalam akaun ASB mereka?

Ya, mereka perlu mengeluarkan kesemua duit yang ada dalam ASB tersebut meliputi wang pokok, dividen, pelarasan dan bonus tahunan. Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardawi dalam kitabnya Fatawa Mu'asirah, beliau telah memutuskan bahawa wang-wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di dalam akaun-akaun konvensional.

Sekiranya tidak dikeluarkan, ia seolah-olah seperti menolong bank-bank atau institusi kewangan konvensional tersebut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Adakah kesemua wang-wang yang disimpan dalam ASB itu menjadi haram?

Tidak, yang haram adalah faedah atau bonus yang terhasil daripada simpanan pokok tersebut. Wang pokok adalah tidak haram.

Bagaimana dengan kedudukan wang-wang ASB tersebut?

Kedudukan wang-wang tersebut adalah seperti berikut :-
  • Wang pokok yang disimpan adalah tidak haram dan boleh digunakan untuk kegunaan peribadi dan keluarga serta boleh dipusakai.
  • Wang faedah, pelarasan, bonus atau apa-apa sahaja tambahan yang terhasil melalui penyimpanan tersebut adalah haram dan dianggap sebagai riba. tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi, keluarga dan kepentingan sendiri serta tidak boleh dipusakai. Wang tersebut hendaklah disalurkan kepada Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.
Adakah pekerja perbankan akan terus menawarkan pakej ASB ini sebagai produk di bank mereka?

Ya dan mungkin masih ada oleh sebab fatwa di peringkat kebangsaan mengharuskannya. Pada masa yang sama pekerja perbankan tersebut tidak diperjelaskan secara lengkap berkenaan kedudukan ASB dan seumpamanya tersebut di negeri Selangor. Oleh yang demikian, mudah-mudahan penerangan ini mampu memperjelaskan anda dan sampaikan kepada mana-mana umat Islam.

Bagaimana dengan mereka yang telah membuat pinjaman ASB? Mereka sudah terikat dengan perjanjian dan bagaimana dengan kedudukan mereka?

Sesuatu yang sukar bila mana transaksi konvensional telah dilaksanakan antara anda dengan pihak bank yang menggunakan instrumen pinjaman ASB. Oleh itu, sekiranya anda boleh membatalkan perjanjian tersebut, maka hendaklah anda mengeluarkan wang tersebut daripada akaun ASB dan menyalurkan sebagaimana kaedah yang telah disebutkan di atas. Sekiranya perjanjian tersebut tidak boleh dibatalkan, maka anda hendaklah menghitung jumlah dividen atau faedah yang terhasil dalam perjanjian tersebut dan menyalurkan sebagaimana kaedah yang dinyatakan di atas juga iaitu diserahkan kepada Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.



 

Tuesday, December 4, 2012

Kembara Malam Yang BERKAT



Malam 1
Malam itu cukup menyeronokkan bagiku. Berjanji untuk bertemu dan menghabiskan suasana dingin malam dengan aktiviti yang dapat melupakan aku tentang kekusutan dunia. Jiwaku yang serabut terungkai dengan dendangan lagu-lagu berirama keras. Au bersengkang mata bersuka ria bersama teman-teman sehingga saat azan Subuh berkumandang. Rutin hidupku terus berputar meninggalkan laman usia remaja di tabir malam yang tiada erti.

Malam 2
Malam itu aku habiskan dengan menelaah pelajaran. Sehelai demi sehelai buku Sains diselak. Di usia remaja ini azamku tekad untuk menimba ilmu sebanyak mungkin. Tiada sedikit pun ruang waktu untuk aku leka membiarkan masa berlalu tanpa manfaat. Namun pembelajaranku tidak boleh terlalu larut kerana malam itu aku dan teman berhasrat ingin qiammullail di musala.

Hakikat Malam
Marilah sama-sama kita renungi makna surah al-Furqan ayat 47 yang bermaksud : "Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian dan tidur untuk istirehat dan Dia menjadikan siang untuk mencari rezeki."

Jelas, malam diciptakan untuk insan berehat setelah siangnya penat melunaskan tuntutan kehidupan. Para salafussoleh mengisi malam mereka dengan perkara-perkara yang mendekatkan dirimkepada Allah seperti membaca al-Quran, berzikir dan solat-solat sunat. Namun bagaimana generasi muda masakini menghidupkan malam? Adakah sekadar meninton televisyen, bermain permainan komputer , melayari internet dan berhibur di luar bersama rakan-rakan sehingga larut malam? Renung-renungkanlan aktiviti kalian.

Info Ayat al-Quran
Dalam al-Quran, terdapat 92 kali perkataan malam disebut. Salah satu daripadanya ialah ayat ke 12 daripada surah al-Isra'. Mari kta sama-sama renungi ayat ini. Allah s.w.t. Berfirman yang bermaksud : "Dan kami jadikan malam dan siang senagai dua tanda, lalu kami haouskan tanda malam dan kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu."

Kupasan ayat
Cuba bayangkan dunia ini tiada peredaran malam. Sudah tentu kita tidak dapat mengetahui hari yang berlalu dan peredaran masa. Siang yang terang akan dipenuhi dengan aktiviti harian yang memenatkan tanpa henti. Manusia akan menjadi seperti mesin yang sentiasa bekerja dan terus bekerja. Tika ini, mungkin kita baru menyedari bahawa indahnya malam untuk kta bagi merehatkan tubuh yang telah lelah sepanjang hari.

Malam dan siang yang silih berganti adalah bukti agung penciptaan Allah. Dijadikan untuk manusia mengambil manfaat dan mengharap rahmat bukan mengundang laknat. Usia remaja bukan untuk disia-siakan, numun digunakan untuk siap siaga.

Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada menghabiskan sisa malam dengan perkara kejahatan. Maksud daripada firman Allah : "Dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita."(Surah al-Falaq 113:3)

Ingatlah malam disediakan untik kita sebagai nikmat. Dingin bayi malam serta sunyi rongganya daripada kebisingan adalah momentum hamba-Nya untuk mencari kekuatan dan meratap hiba hanya pada yang Esa.



Jaga Mata Jaga Iman



Mata jendela hati. Kesannya sangat besar dalam menjaga kejernihan hati. Mata yang tidak terjaga menyebabkan hati dan minda menjadi keruh dan kotor. Oleh sebab itu, para ulamak daripada kalangan salafussoleh sangat mengambil berat dalam menjaga pandangan.

Daripada Huzaifah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Pandangan adalah salah satu anak panah beracun daripada iblis. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka Allah akan memberinya keimanan yang manisnya terasa di dalam hati. "(Riwayat al-Hakim)

Salah seorang ulama tersebut ialah Hassan bin Abi Sinan dari kota Basrah di Iraq. Beliau seorang ulama, sekali gus peniaga terkenal. Meskipun selalu berjumpa dengan ramai orang, beliau selalu menjaga matanya daripada memandang perkara yang haram.

Abdullah bin Muhammad al-Zarrad bercerita : "Suatu hari, Hassan bin Abi Sinan keluar untuk menunaikan solat raya. Ramai rakyat negeti tersebut keluar pada har penuh gembira itu. Tidak ketinggalan juga, golongan wanita yang berpusu-pusu memenuhi padang.

Selepas solat, seorang berkata kepada Hassan : "Wahai Abu Abdillah, tidak pernah kami melihat kumpulan perempuan yang sangat ramai seperti yang berlaku pada hari raya kali ini." Hassan menjawab : "Aku tidak melihat seorang perempuan pun sejak aku keluar hingga pulang kembali."

Kisah ini diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Nu'aim al-Isbahani dalam kitab Hilyat al-Awliya wa Tabaqat al-Asfiya.

Penyesalan Panjang
Menjaga pandangan suatu kewajipan. Setiap Mukmin ; lelaki dan perempuan wajib melakukannya. Tujuannya agar mereka terselamat daripada tali-tali syaitan yang akan menjeratnya ke lembah maksiat.

Allah s.w.t. Berfirman, maksudnya : "Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman supaya menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan." (Surah an-Nur 24:30)

Pandangan yang tidak terjaga ibarat panah beracun yang menembus ke dalam dada. Jika tidak segera diubati, racun itu akan merosakkan minda dan hati kita. Dosa zina selalu bermula dengan pandangan.

Orang yang berzina tidak akan mulia selama-lamanya. Dia hidup dalam kegelisahan semasa di dunia dan di akhirat pula dia akan menerima azab Allah yang sangat pedih. Oleh sebab itu, para ulama berkata : "Satu lirikan kadangkala membawa penyesalan yang sangat panjang."