Powered By Blogger

Tuesday, December 4, 2012

Jaga Mata Jaga Iman



Mata jendela hati. Kesannya sangat besar dalam menjaga kejernihan hati. Mata yang tidak terjaga menyebabkan hati dan minda menjadi keruh dan kotor. Oleh sebab itu, para ulamak daripada kalangan salafussoleh sangat mengambil berat dalam menjaga pandangan.

Daripada Huzaifah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Pandangan adalah salah satu anak panah beracun daripada iblis. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka Allah akan memberinya keimanan yang manisnya terasa di dalam hati. "(Riwayat al-Hakim)

Salah seorang ulama tersebut ialah Hassan bin Abi Sinan dari kota Basrah di Iraq. Beliau seorang ulama, sekali gus peniaga terkenal. Meskipun selalu berjumpa dengan ramai orang, beliau selalu menjaga matanya daripada memandang perkara yang haram.

Abdullah bin Muhammad al-Zarrad bercerita : "Suatu hari, Hassan bin Abi Sinan keluar untuk menunaikan solat raya. Ramai rakyat negeti tersebut keluar pada har penuh gembira itu. Tidak ketinggalan juga, golongan wanita yang berpusu-pusu memenuhi padang.

Selepas solat, seorang berkata kepada Hassan : "Wahai Abu Abdillah, tidak pernah kami melihat kumpulan perempuan yang sangat ramai seperti yang berlaku pada hari raya kali ini." Hassan menjawab : "Aku tidak melihat seorang perempuan pun sejak aku keluar hingga pulang kembali."

Kisah ini diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Nu'aim al-Isbahani dalam kitab Hilyat al-Awliya wa Tabaqat al-Asfiya.

Penyesalan Panjang
Menjaga pandangan suatu kewajipan. Setiap Mukmin ; lelaki dan perempuan wajib melakukannya. Tujuannya agar mereka terselamat daripada tali-tali syaitan yang akan menjeratnya ke lembah maksiat.

Allah s.w.t. Berfirman, maksudnya : "Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman supaya menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan." (Surah an-Nur 24:30)

Pandangan yang tidak terjaga ibarat panah beracun yang menembus ke dalam dada. Jika tidak segera diubati, racun itu akan merosakkan minda dan hati kita. Dosa zina selalu bermula dengan pandangan.

Orang yang berzina tidak akan mulia selama-lamanya. Dia hidup dalam kegelisahan semasa di dunia dan di akhirat pula dia akan menerima azab Allah yang sangat pedih. Oleh sebab itu, para ulama berkata : "Satu lirikan kadangkala membawa penyesalan yang sangat panjang."




No comments: