Powered By Blogger

Friday, November 23, 2012

Menangguk di Air Keruh


Alhamdulillah......lewat sedikit habis kuliah di surau malam ni. Tak kisah la sebab pengisiannya cukup bermakna. Antara sisipan yang menyuntik jiwa aku tadi tentang salah seorang sahabat Rasullah yang berperwatakan kasar dalam pergaulan sehingga menyebabkan orang yang datang dari jauh untuk menimba ilmu dengannya berasa tidak selesa dan hilang minat.
"Dekatlah kepadaku kerana ilmu yang ada padaku, bukan menjadikan perwatakanku sebagai penghalang kepada ilmu yang kamu mahukan!" Demikian lebih kurang pesanan sahabat Rasullah ini. Aku setuju sangat! Aku sendiri memiliki pengalaman yang tidak jauh bezanya semasa zaman persekolahanku. Cikgu Razali, satu nama yang cukup popular dalam kalangan teman-teman. Pastinya mereka cuba mengelak daripada bersingguh bahu.

Menjadi guru disiplin sekolah, guru AJK aspura, bersuara lantang, pekat dialek Terengganu selatannya, tegas, bertubuh gempal padat dan berambut pendek lurus terpacak. Gunting dan rotan tak pernah berenggang dari tangannya. Namun kerana dia jugalah aku dan rakan sekelasku menjadi celik matematik. Kaedah pengajarannya amat selesa dan berkesan terhadap sebahagian daripada kami yang pada asalnya membenci matematik.

Hakikatnya bukan perwatakan yang kita nilaikan tetapi manfaat yang dapat kita ambil daripada seseorang. Lihatlah kelebihan seorang insan itu lebih daripada kekurangannya. Usah dibandingkan kurniaan Allah pada setiap makhluk kerana sesungguhnya Allah itu maha Adil.

Buaya yang kuat lagi ganas pada mangsanya, namun halus serta penyayang terhadap anak-anaknya; dibiarkan anak-anaknya bermain dibelakang badan dan mulutnya yang besar, menjadi ibu yang sensitif dan peka mengawasi zuriatnya daripada telur hinggalah anak-anak membesar.

Marilah kita menjernihkan hati dan mencelikkan mata dalam mencari kebaikan sentiasa. Ya Allah, kurniakan kami keikhlasan hati dalam pergaulan kami, semoga Engkau memberkati jalinan ukhuwah antara kami. Terima kasih cikgu!

Pedoman Sisipan
Rasullah s.a.w. Bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada aku, memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seorang pun yang bermegah, menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain." (riwayat Muslim)

No comments: