Powered By Blogger

Sunday, November 18, 2012

PESANAN KEJAYAAN SEORANG YANG BERJIWA BESAR DAN BERHATI MULIA

Pesanan kejayaan seorang yang berjiwa besar dan berhati mulia ini amat bermakna bagi ibu. Pertama kali ibu mendengar nama beliau ialah pada tahun 1991. Di hati ibu terpahat satu keinginan untuk bertemu beliau dan menjadi seorang kawan kepada beliau. Pada tahun 1998, ibu berjumpa beliau buat pertama kalinya di seminar Money & You. Ibu mendapati sungguh ramah dan sungguh mudah mesranya beliau ini. Semenjak itu, tercapai impian ibu untuk menjadi kawan beliau. Banyak pertolongan yang telah beliau berikan kepada ibu terutamanya kata-kata semangat. Apabila ibu mahu menghasilkan buku 'AKU LAYAK BERJAYA' beliau dengan begitu berlapang dada sudi memuatkan pesanan beliau di dalam buku ibu. Bacalah perkongsian beliau ini yang ibu yakin ditulis dengan penuh kasih-sayang. Bacalah perkongsian kawan baik ibu - Datuk Dr. Maznah, 'The Iron Lady'.


Pertama, saya ingin mengucapkan syabas kepada Dr. Rozieta di atas usaha beliau menulis buku ini. Saya telah mengenali beliau semenjak tahun 1998, iaitu semasa beliau menghadiri Business School For Entrepreneur. Sepanjang perkenalan kami, saya tahu beliau merupakan seorang yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan keupayaan beliau. Saya kagum dengan semangat  beliau yang sentiasa mahu membantu sesiapa sahaja yang mahu meraih kejayaan hidup mereka.

Meraih kejayaan adalah suatu yang sememangnya dekat di hati saya. Hidup saya adalah mengenai meraih kejayaan demi kejayaan. Saya suka melakukannya bukan untuk saya atau keluarga saya semata-mata. Kerana saya yakin, bila kita berjaya kita boleh membantu lebih ramai orang.
Saya amat bersyukur kerana Allah memberikan kepada saya kegigihan untuk mengatasi segala cabaran yang mendatang. Namun, apa yang saya ingin ingatkan, ini bukanlah suatu bakat atau nasib. Tetapi ini adalah corak kita berfikir dan sistem kepercayaan di dalam diri kita. Jika kita berfikir bahawa kesusahan dan cabaran  itu adalah penghalang, maka kita tidak mungkin boleh berjaya. Kerana tidak ada seorang pun yang tidak menerima kesusahan atau kerumitan di dalam hidup mereka. Walaupun orang yang paling kaya di dunia ini.

Bagi orang-orang yang berjaya, mereka tidak melihat semua itu sebagai cabaran atau kesusahan. Mereka cuma melihat semua itu sebagai isu dan kemestian yang perlu diatasi dan mereka berusaha mecari jalan penyelesainya. Bagi mereka juga semua yang dikatakan cabaran atau kesusahan itu adalah sebagai guru-guru dan pemangkin di dalam diri kita yang tugasnya untuk kita melonjakkan semangat kita untuk berjaya. Kita katakan kekebalan diri.

Itulah sebab saya amat bersetuju dengan apa yang Dr. Rozieta katakan bahawa kita mempunyai berlian di dalam diri kita yang sebenarnya menjadi modal besar kepada kita dalam meraih kejayaan. Pegangan saya dalam meraih kejayaan ialah, baik kejayaan mahupun perniagaan ialah ‘modal  yang sebenarnya adalah diri sendiri'.

Beliau menyambung pesanan kejayaan ini...
Kita dijadikan unik dan dilengkapkan dengan segala keupayaan untuk mencipta kejayaan. Kita mempunyai kebebasan memilih dan mengubah apa jua sikap negatif yang berada dalam diri kita. 

Apabila kita mampu mengubah sikap kita, maka dunia juga akan turut berubah. Dalam meraih kejayaan di dalam karier kita, perniagaan atau apa sahaja yang kita ceburi 'kita mesti sanggup bekerja kuat dan jika kita makan gaji kita mesti sanggup bekerja lebih daripada gaji yang dibayar. Namun, ketahuilah akhirnya nanti kita akan mendapat lebih dari apa yang kita usahakan dan kerjakan. Inilah yang sering saya kongsikan bersama di dalam seminar, kursus dan penampilan saya di media cetak dan media elektronik.

Mesej saya untuk semua; Demi meraih kejayaan, kita perlu mempunyai strategi yang tersusun dan berkesan. Kita perlu mendidik dan mendisplinkan diri kita untuk mempunyai sikap, skil dan ilmu yang diperlukan. Dr. Rozieta ada membentangkan perkara itu di dalam buku ini.

Seperkara yang ingin saya sampaikan juga, kesempurnaan adalah suatu yang perlu dicapai dan dikejar dan dalam mengejar kejayaan dan kesempurnaan, sudah tentu kita akan menghadapi pelbagai dugaan, kesilapan dan kegagalan. Jadi tidaklah perlu kita memarahi, menyesali, meratapi akan kesilapan dan kegagalan kita secara keterlaluan. Tabahkan hati, kuatkan semangat, lipat gandakan usahamu demi mencapai segala impianmu. Kerana percayalah kamu layak berjaya!

Begitulah pesanan kejayaan seorang yang berjiwa besar dan berhati mulia ini. Semoga ia menyemarakkan lagi kemahuan meraih kejayaan di dalam jiwa anda.

Nukilan Dr. Rozieta

No comments: