Powered By Blogger

Sunday, November 18, 2012

Hikmah Di Sebalik Sedekah



Kisah Teladan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasullah s.a.w. pernah menceritakan kisah di sebalik sedekah seorang lelaki kepada 3 jenis manusia.
Suatu hari, lelaki itu berkata: "Demi Allah, aku akan bersedekah dengan satu sedekah." Lalu dia pun mengeluarkan sejumlah wang dan berjumpa dengan seorang pencuri. Namun, dia tidak mengetahui bahawa orang tersebut adalah seorang pencuri, lantas dia menghulurkan wang tersebut kepadanya. Keesokan harinya, orang ramai mula bercakap-cakap tentang perbuatannya yang bersedekah kepada seorang pencuri. Dia mula merasakan bahawa sedekah tersebut tidak diterima. Lalu, dia pun berkata : "Ya Allah, segala pujian adalah milik-Mu. Demi Allah, aku akan bersedekah lagi dengan satu sedekah."

Di malam harinya, dia pun mengeluarkan sejumlah wang dan berjumpa dengan seorang wanita penzina. Begitu juga, dia tidak mengetahui bahawa wanita itu adalah penzina, lantas dia menghulurkan wang tersebut kepada si penzina tadi. Keesokan harinya, orang ramai mula bercakap-cakap tentang perbuatannya yang bersedekah kepada seorang penzina. Akibat perbualan itu, dia merasakan bahawa sedekah pada hari keduanya turut tidak diterima oleh Allah s.w.t. Namun, dia berkata : "Ya Allah, segala pujian adalah milik-Mu. Aku telah bersedekah kepada seorang wanita penzina. Demi Allah, aku akan bersedekah lagi dengan satu sedekah."

Seperti kebiasaannya, dia pun mengeluarkan sejumlah wang dan berjumpa dengan seorang lelaki kaya. Sama juga dengan dua orang yang dijumpainya sebelum ini, dia tidak mengenali bahawa lelaki itu seorang yang kaya. Tanpa membuang masa, dia terus memberikan wang tersebut kepada si lelaki tadi. Keesokan harinya, orang disekelilingnya tetap bercakap-cakap mengenai perbuatannya memberikan sedekah kepada si kaya. Namun dia tetap berkata : "Ya Allah, segala pujian adalah milik-Mu. Aku telah bersedekah kepada seorang pencuri, wanita penzina dan seorang lelaki kaya."

Suatu malam ketika sedang tidur, dia mendengar suatu suara di dalam mimpinya yang mengatakan : "Adapun sedekah mu kepada si pencuri, mudah-mudahan dia dapat memelihara dirinya daripada terus mencuri. Adapun sedekah mu kepada wanita penzina, mudah-mudahan dia akan memelihara dirinya daripada terus berzina. Adapun sedekah mu kepada seorang lelaki kaya, mudah-mudahan dia akan berfikir tentangnya lalu dia menginfakkan harta yang telah diberikan Allah s.w.t. kepadanya."

Pengajaran :
1. Ikhlas melakukan amalan.
2. Tidak meremehkan perbuatan kebaikan yang dilakukan.
3. Sentiasa memuji Allah s.w.t. dalam apa jua keadaan.

No comments: