Powered By Blogger

Wednesday, December 5, 2012

Persoalan Mengenai ASB & ASN



Bagaimana dengan kedudukan orang Islam yang telah menyertai dan membuat pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya?

Kedudukan orang Islam yang telah menyertai dan membuat pelaburan ASB ini sekiranya mereka telah diberitahu bahawa pelaburan ASB tersebut adalah haram, maka mereka hendaklah meninggalkan ASB dan menyertai dana-dana amanah lain yang mematuhi syariah. Sekiranya mana-mana umat Islam yang tahu tetapi tidak meninggalkan ASB tersebut maka mereka telah melakukan dosa yang melibatkan diri mereka dengan riba. 

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." (Surah al-Baqarah:275) 

Adakah mereka perlu mengeluarkan semua duit yang ada dalam akaun ASB mereka?

Ya, mereka perlu mengeluarkan kesemua duit yang ada dalam ASB tersebut meliputi wang pokok, dividen, pelarasan dan bonus tahunan. Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardawi dalam kitabnya Fatawa Mu'asirah, beliau telah memutuskan bahawa wang-wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di dalam akaun-akaun konvensional.

Sekiranya tidak dikeluarkan, ia seolah-olah seperti menolong bank-bank atau institusi kewangan konvensional tersebut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Adakah kesemua wang-wang yang disimpan dalam ASB itu menjadi haram?

Tidak, yang haram adalah faedah atau bonus yang terhasil daripada simpanan pokok tersebut. Wang pokok adalah tidak haram.

Bagaimana dengan kedudukan wang-wang ASB tersebut?

Kedudukan wang-wang tersebut adalah seperti berikut :-
  • Wang pokok yang disimpan adalah tidak haram dan boleh digunakan untuk kegunaan peribadi dan keluarga serta boleh dipusakai.
  • Wang faedah, pelarasan, bonus atau apa-apa sahaja tambahan yang terhasil melalui penyimpanan tersebut adalah haram dan dianggap sebagai riba. tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi, keluarga dan kepentingan sendiri serta tidak boleh dipusakai. Wang tersebut hendaklah disalurkan kepada Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.
Adakah pekerja perbankan akan terus menawarkan pakej ASB ini sebagai produk di bank mereka?

Ya dan mungkin masih ada oleh sebab fatwa di peringkat kebangsaan mengharuskannya. Pada masa yang sama pekerja perbankan tersebut tidak diperjelaskan secara lengkap berkenaan kedudukan ASB dan seumpamanya tersebut di negeri Selangor. Oleh yang demikian, mudah-mudahan penerangan ini mampu memperjelaskan anda dan sampaikan kepada mana-mana umat Islam.

Bagaimana dengan mereka yang telah membuat pinjaman ASB? Mereka sudah terikat dengan perjanjian dan bagaimana dengan kedudukan mereka?

Sesuatu yang sukar bila mana transaksi konvensional telah dilaksanakan antara anda dengan pihak bank yang menggunakan instrumen pinjaman ASB. Oleh itu, sekiranya anda boleh membatalkan perjanjian tersebut, maka hendaklah anda mengeluarkan wang tersebut daripada akaun ASB dan menyalurkan sebagaimana kaedah yang telah disebutkan di atas. Sekiranya perjanjian tersebut tidak boleh dibatalkan, maka anda hendaklah menghitung jumlah dividen atau faedah yang terhasil dalam perjanjian tersebut dan menyalurkan sebagaimana kaedah yang dinyatakan di atas juga iaitu diserahkan kepada Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.



 

No comments: